Friday, 17 May 2013

Ingin kongsi keindahan Islam




Muhammad Jais (kiri) mengakui perlu penuhi ilmu di dada sebelum menyampaikan dakwah.
DARIPADA air wajahnya yang tenang, tiada siapa menyangka Muhammad Jais menyimpan ribuan cerita. Segalanya bermula apabila anak kelahiran Bukit Jelutong, Subang, Selangor yang beragama Hindu itu bernekad membuat keputusan mempelajari Islam.

Liku-liku yang dilalui bukan mudah. Beliau pernah dihalau dan dibuang keluarga sehingga kehilangan tempat tinggal dan terpisah dengan semua adik beradik sejak kecil. Hanya berjalan dari surau ke surau dijadikan tempat berteduh.

Namun, berkat semangat dan sabar, segala ujian yang dihadapi ditempuhi dengan reda oleh anak muda lepasan Pengajian Islam dan Adab, Universiti Sains dan Teknologi Sanaa, Yaman itu sehingga benar-benar mengecapi kemanisan Islam.

Walaupun berstatus saudara baru, namun semangat dan keinginan Muhammad untuk berkongsikan keindahan yang diperoleh selepas memeluk Islam kepada semua orang bukan Islam sangat berkobar-kobar.

Ini dibuktikan melalui kejayaan beliau yang kini sebagai pendakwah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mengislamkan lebih 20 orang dalam tempoh dua bulan.
Beliau yang mula mendekati agama Islam ketika di bangku sekolah menengah mengakui segala yang berlaku ada hikmahnya dan segala ujian yang Allah SWT berikan dibalas dengan ganjaran yang setimpal.

“Disebabkan terbiasa bergaul dengan rakan-rakan berbangsa Melayu seperti makan minum di majlis kenduri dan sebagainya, hati saya mula tertarik dengan apa yang mereka amalkan.

“Melihat amalan Islam bersembahyang, saya cuba dan sering mengikut rakan-rakan ke masjid untuk bersembahyang. Malangnya saya tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid. Oleh kerana naluri ingin tahu saya cuba untuk meniru gerakan solat walaupun di luar masjid.

“Saya juga pernah belajar mempelajari dengan mengikuti laungan azan. Akibatnya saya dimarahi teruk oleh ayah tiri dan ibu apabila mengetahui perkara itu," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Perkim Jalan Ipoh, baru-baru ini.

Menceritakan kisah hidupnya, anak ke lapan daripada sembilan adik-beradik itu berkata, kehidupan keluarga mereka bukanlah berasal daripada golongan yang senang.

Ditambah dengan bilangan ahli keluarga yang ramai, kemampuan bapanya sebagai pekerja estet untuk menampung perbelanjaan keluarga adalah sangat tidak memadai.

“Bapa hanya bekerja sebagai penoreh getah, manakala emak pula bekerja di kilang membuat mee. Kehidupan kami sekeluarga pada masa itu amat sukar sehingga ada kalanya makan pun tidak cukup.

“Bertambah kesusahan lagi apabila ayah meninggal dunia yang ketika itu saya berusia enam tahun. Kami hanya bergantung harap kepada wang emak dan abang untuk menampung perbelanjaan.

“Selepas kematian ayah, emak berpindah ke Batu Pahat, Johor dengan membawa saya dan dua adik beradik yang lain sebelum berkahwin lain. Kami dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana kemiskinan. Di sinilah saya mula bercampur dan bergaul dengan masyarakat Melayu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment